Wednesday 11 June 2014

Apa yang tersirat

Suatu masa dulu aku pernah berniaga. Sewa tapak depan kedai makan orang. Tapak berniaga yang aku sewa tu kecik je dalam 8 X 8 kaki macam tu lah. Mula-mula aku ingat nak meniaga char kuey teow sahaja tapi bila masa berjalan ada pulak permintaan menu yang lain dari pelanggan jadi aku tambah la menu kuey teow goreng, nasi goreng dan mee goreng mamak. Aku pernah meniaga kat tempat lain sebelum ni. Kaedahnya sama jugaklah. Sewa tapak depan kedai je. Tarik api dan guna air dari premis kedai tu. Itu je yang sebenarnya kira sewa. Tapak aku berniaga depan kedai tu sebenarnya parking lot jadi ikutnya majlis bandaran yang punya. Walaupun aku ni hawker je tapi aku ada ambil lesen meja lipat. Kiranya aku ni meniaga kecik tapi lesen tetap aku mohon jugak. Ni kira tanggungjawab peniaga kepada masyarakat. Perniagaan makanan ni kena dipantau. Kalau tak ada lesen macam mana pihak berkuasa nak pantau jadi peniaga kenalah ikut peraturan dan bagi kerjasama. Tapi apa yang aku perhatikan banyak peniaga yang mementingkan tembolok dia orang aje. Kiri kanan depan belakang jarang dia orang perhatikan dan ambil peduli. Dalam kata lain rasa tanggungjawab tu kuranglah. Lain kali aku ceritalah kenapa aku kata macam tu. hari ni aku nak cerita pasal tajuk entry "Apa yang tersirat".

Sebelum tu aku nak cerita sikit analisis aku pasal solat berjemaah. Semua tahu solat berjemaah ni ganjaran pahalanya tinggi. 27 darjat tingginya (ada setengah riwayat kata 25)  melebihi pahala solat bersendirian. Ada satu persoalan yang bermain di fikiran aku tentang pahala solat berjemaah ni. Kalau kita tanya orang apa kelebihannya solat berjemaah ni pastilah jawapannya ganjaran pahalanya lebih. Yang aku fikirkan ialah kenapa solat berjemaah ni ganjaran pahalanya lebih. Tentulah ada yang tersirat kenapa Allah swt mengurniakan 27 darjat pahala kepada orang yang solat berjemaah berbanding 1 darjat untuk orang yang solat bersendirian. Fikir punya fikir aku dapat la satu alasan kenapa pahalanya lebih untuk solat berjemaah. Pastilah ada banyak alasan tersirat yang lain tapi buat masa ni aku dapat fikir satu ni je. Patutlah umat Islam disuruh banyak berfikir. Bila berfikir barulah kita dapat memahami duduk sesuatu perkara dengan jelas.

Baiklah, tentu anda nak tau apa alasan yang aku fikirkan tu. Aku sambung cerita berniaga aku tadi. Hehe jangan marah ye cerita ni ada banyak babak sebelum sampai ke puncaknya. Masa aku meniaga dulu, gerai aku memang betul-betul tepi jalan. Belakang restoran ada la deretan rumah orang. Dalam pukul 7 petang biasanya memang ada orang order char kuey teow. Waktu berniaga aku pukul 5.30 petang sampai 12 malam. Waktu dalam pukul 7 petang tu lah selalu peristiwa yang sama ni berlaku. Peristiwanya ialah ada la satu makcik ni biasa lalu depan stall aku nak pi berjemaah di surau. Biasa dia ni lalu dalam 15-20 minit sebelum maghriblah. Kalau waktu maghrib dan azan sedang berkumandang memang aku tak menggoreng. Yang aku duk peratikan makcik ni kalau lalu depan aku langsung dia tak tegur. Jangan kata tegur, senyum pun tidak. Yang tu tak pa lagi la. No hal punya. Tapi satu perkara yang aku tak boleh tahan ialah dia boleh tutup hidung masa lalu depan stall aku. Seolah-olah dia lalu tepi kandang babi yang berbau atau kita tutup hidung bila terbau kentut atau bau taik kucing atau apa-apa aje bau yang tak menyenangkanlah.

Di sinilah aku terfikir. Makcik ni pi solat berjemaah tapi dia gagal memahami konsep solat berjemaah. Salah satu sebab kenapa solat berjemaah ni tinggi darjatnya ialah kerana dengan berjemaah kita dapat berjumpa dengan saudara segama kita. Dengan perjumpaan inilah hubungan silaturahim menjadi erat. Maksudnya ganjaran darjat yang tinggi diberi untuk solat berjemaah adalah untuk menggalakkan umat Islam menjaga hubungan silaturahim antara saudara seagama. Islam sendiri amat menitikberatkan soal silaturahim sesama insan. Jadi pada aku, salah satu sebab kenapa ganjaran pahala berjemaah tinggi darjatnya adalah kerana Allah swt mahukan kita umat Islam menjaga hubungan silaturahim sesama kita. Cuba kita perhatikan sekeliling kita. Tak ramai yang menyedari konsep ini. Pada akulah, sembahyang berjemaah itu mendidik kita betapa pentingnya silaturahim dan konsep ini bukan hanya penting masa berjemaah sahaja malah konsep inilah yang perlu menjadi amalan seharian kita. Berbalik kepada makcik yang lalu depan kedai duk tutup hidung tadi, memang sah la dia tak paham konsep berjemaah ni. Dia tidak mahu amalkan silaturahim. Malah menghina orang lagi ada la. Malangnya aku tak pernah dengar ustaz cerita pasal konsep sembahyang jemaah ni. Yang biasa aku dengar ceramah atau tazkirah pasal ganjaran pahala sembahyang jemaah yang tinggi ada la tapi kalau kenapa dan mengapa  ganjaran pahala sembahyang jemaah tu tinggi masih belum aku dengar lagi. Walau macam mana pun aku maafkan makcik yang seolah-olah menghina aku tu. Aku doakan aku, dia dan semua kita muslimin dan muslimat sama-sama mendapat syurga Allah swt kerana kita semua bersaudara. Saudara segama kita bukanlah musuh kita. Kadang-kadang saudara kita menganiaya kita tetapi adalah lebih baik jika kita memaafkan dia kerana musuh kita yang nyata ialah syaitan yang suka menggoda dan  memecah belahkan umat manusia. Maka syaitan laknatullah ialah musuh kita yang sebenar.

No comments:

Post a Comment