Monday, 30 June 2014

Gambar HDR

Aku ingatkan susah nak buat gambar HDR ni rupanya senang je. Gambar HDR  memang cantik tapi sebenarnya aku tak berapa suka. Sebabnya pada pandangan aku gambar HDR ni menipu kerana gambar yang dihasilkan lebih cantik pemandangannya berbanding dengan suasana sebenar di lokasi gambar itu diambil. Tengoklah contoh gambar aku yang pertama di bawah ni bukan main lagi cantik tapi kalau anda pergi ke lokasi aku ambil gambar tu pasti anda akan kecewa kerana pemandangan sebenar tidak sama dengan pemandangan dalam gambar. Jom kita tengok gambar yang aku maksudkan tu.

pantai ni kat Port Dickson - HDR

Dan sekarang mari kita lihat gambar sebenar tempat tanpa gunakan teknik HDR. Lihatlah perbezaannya. Betul tak aku kata HDR ni menipu hehe...

apa macam kawan :)

Jadi anda dah tengok gambar yang asli dan HDR. Jauh bezanya dari segi dinamik warna dia. Sebab tu lah aku kata HDR ni menipu. Kalau setakat nak layan mata boleh la. Memang tak dinafikan cantik tapi pada aku yang pentingnya adalah realiti. Kalau anda tengok iklan pelancongan yang ada gambar air dan airnya pun membiru je jangan la terus percaya tempat tu sebiji macam dalam iklan dia orang tu. Mungkin juga dia orang guna teknik HDR untuk cantikkan gambar dia orang. Kat bawah ni ada beberapa gambar lagi yang aku dah jadikan gambar HDR. Ingat ye, pemandangan tu tipu aje, tak sama dengan pemandangan sebenar :).

Fraser Hill

Melaka

Putrajaya

Port Dickson

Friday, 27 June 2014

Pantai Air Papan Mersing

Hari ni aku mengemaskini laptop. Buang mana yang patut dan simpan mana yang perlu. Tak sangka la pulak terjumpa fail gambar-gambar masa aku pergi Mersing dulu. Kiranya ni lama punya ceritalah hehe. Aku ingat lagi perjalanan mula dari KL ikut highway PLUS exit kat Ayer Hitam. Dari situ ambil jalan ke Kluang. Dari Kluang ambil pulak jalan ke Jemaluang. Sebenarnya ada jalan pintas terus ke Mersing tapi aku tak pasti jadi aku jalan ikut Jemaluang ajelah. Rupanya kata kawan aku yang tinggal di Kluang, jalan yang aku ikut ke Jemaluang tu tak ramai orang guna. Kalau orang sana nak ke Mersing dari Kluang dia orang ikut jalan pintas yang terus ke Mersing. Jalan ke Jemaluang tu memang kiri kanan hutan je. Seram jugak aku tapi yang bestnya on the way nak ke Jemaluang tu ada satu kampung macam kampung orang melayu mungkin juga kampung orang asli. Masa aku lalu tu aku nampak ada orang jual ikan darat kat tepi jalan. Kalau la aku on the way nak balik sah la aku singgah beli. Walaupun seram tapi memang rasa suasana kampung sungguh sepanjang jalan yang aku ikut tu.

Dari Jemaluang ke Mersing dah tak jauh. Kiri kanan jalan ada jugak la kampung dan rumah kedai. Kat Mersing aku duk Hotel Seri Malaysia. Sebelum datang aku dah check kat tenet, itu jelah hotel yang ada pun. Tapi bila dah sampai Mersing aku nampak banyak jugak hotel yang 2-3 bintang. Yang baru pun ada. Tapi Seri Malaysia pun kira okaylah. Selesa jugak biliknya. Sebenarnya aku pun tak plan nak jalan-jalan ke Mersing. Plan tu sebenarnya betul-betul last minute. Kaut ajelah mana hotel yang masih ada kekosongan. Masa tu cuti sekolah bulan Disember. Aku pun tak harap ada bilik hotel yang kosong tapi bila call tengok ada pulak yang kosong maka terjadilah perjalanan yang tak dirancang itu.

budak berdua ni kalau jumpa kolam renang memang situlah depa tala dulu

Walaupun jalan-jalan aku tu tak dirancang tapi aku memang puas hati sangat. Itulah kali pertama aku sampai ke sana. Seronok jugak datang ke temat yang kita tak pernah sampai. Pekan Mersing taklah besar mana pun. Di sana ada kem tentera tak silap aku nama Kem Iskandar. Geng-geng komando yang duk situ tak silap aku. Yang bestnya aku bukan setakat sampai Mersing je. Aku buat tawaf sebenarnya. Tawaf aku bermula dari KL - Ayer Hitam - Kluang - Mersing - Endau - Kuala Rompin - Nenasi - Pekan - Kuantan - LPT - KL semula. Semuanya ambil masa seminggu. Tapi banyak masa yang aku habiskan kat Mersing. Lain-lain tempat tu singgah sekejap atau lalu je. 

pantai Mersing ni tak sesuai mandi manda

 air tengah surut. pantainya memanjang ke laut

bandar mersing kat bukit hujung sana tu

beberapa orang sedang memukat ikan

Kat Mersing ni ada satu tempat yang aku suka sangat. Nama tempat tu Pantai Air Papan. Pantai ni agak jauh ke utara dari bandar Mersing. Pantai ni pada aku la memang best. Tenang dan damai. Orang tak ramai sangat walaupun kat pantai tu ada chalet. Ombak kat pantai ni kira okay sangat la untuk mandi. Pantai dia pulak landai. Arus bawah air tak kuat macam tempat lain di sebelah pantai timur. Kalau bandingkan dengan PD memang tenang dan damai di pantai ni lagi. Sini penduduk tak padat macam kat pantai barat semenanjung. Kata orang, penduduk seberang tambak Johor ramai yang berehat di sini kalau tiba musim cuti.

inilah pantai Air Papan. Tak nampak orang pun

sebelah sini barulah nampak pengunjung

bekubang sakan la anak aku

aman damai pantai ni

jangan terperdaya. ini versi hdr

Aku rasa puas hati sangat melepak kat Mersing ni. Aku cadang hujung tahun ni nak ulang semula jalan-jalan ke Mersing tapi kali ni aku nak mula dari Tanjung Piai. Lepas tu naik ke atas nak bermalam di Sedili. Sebenarnya ada satu tempat masa aku jalan-jalan tu yang aku tak boleh lupa. Tempat tu macam menggamit aku je untuk pi lagi. Tempat yang aku maksudkan tu ialah Endau. Kat Endau ada satu jambatan menghubungkan Endau dengan Tanjung Gemuk. Sinilah tempat yang aku tak boleh lupa tu. Pemandangan kat sini masa aku lalu tu cukup cantik. Dari atas jambatan kita boleh nampak deretan kapal nelayan berlabuh di sepanjang tebing muara sungai. Semua botnya warna biru. Kebetulan masa aku lalu tu langit membiru. Air di muara sungai tu memantulkan cahaya biru. Disertai pula dengan deretan kapal nelayan yang berwarna biru....fuhh memnag cantik sungguh. Malangnya aku tak dapat nak snap gambar sebab aku risau nak berehenti atas jambatan tu. Pengalaman inilah yang membuatkan aku berniat akan datang lagi ke tempat ni pada masa depan. InsyaAllah jika ada rezeki sampailah aku ke sana sekali lagi.

Dalam perjalanan balik aku tak singgah mana-mana. Bandar-bandar lain yang aku mention dalam tawaf aku ni aku lalu macam tu je. Dah tak ada masa nak singgah. Tempat-tempat tu memang aku tak pernah sampai kecuali Kuantan. Keseluruhannya aku memang suka dengan suasana tempat-tempat yang aku lalu tu. Pemandangan cantik dan semuanya terletak hampir dengan laut. Mengasyikkan. Masa memandu melalui LPT, orang rumah aku sempat snap gambar kat highway. Rasanya kat area Temerloh kot. 

mendung tak bererti hujan :)

kan dah cerah balik

LPT yang sungguh aman damai kurangnya kenderaan :)

Akhir sekali adalah menjadi tanggungjawab aku untuk bagi tahu kepada pembaca semua bahawa gambar-gambar dan segala peristiwa yang aku tulis tadi berlaku pada bulan Disember tahun 2003. Harap maklum ya :). Tulisan ini kiranya mengimbau kembali kenangan lalu. Anak aku dua orang yang suka bekubang tu sekarang dah darjah 6 dan tingkatan 2. Bolehlah anda bayangkan berapa lama punya cerita la......

Wednesday, 25 June 2014

Fotografi lanskap malam

Sambung entry sebelum ini pasal fotografi malam. Kalau nak berfotografi lanskap pada waktu malam ada teknik-tekniknya. Untuk yang baru berjinak-jinak dengan dunia fotografi macam aku ni paling baik sekali ialah alami sendiri berfotografi pada waktu malam. Dua tiga kali keluar malam snap gambar kita akan tahu teknik dan keperluannya. Untuk diri aku sendiri, apa yang aku rasa perlu aku senaraikan di bawah ini. Jika berfaedah kita kongsikan bersama. Jika tidak mendatangkan kebaikan sila abaikan sahaja;

Tripod
Yang ini adalah satu kemestian. Snap gambar waktu malam memerlukan shutter speed yang perlahan. Biasanya 1 minit dan lebih. Shutter speed yang perlahan memerlukan kita memegang kamera dengan stabil dalam jangkamasa yang lama. Sedikit pergerakan akan menyebabkan kamera bergoyang. Goyangan pada kamera akan menyebabkan gambar jadi blur. Walaupun lens atau kamera ada fungsi IS (internal stabilizer), gambar yang anda hasilkan tetap blur. IS pada lens atau kamera anda sebenarnya hanya berfungsi membetulkan sedikit goyangan. Kalau goyang lebih IS pun tak dapat betulkan dah. Kalau tidak ada tripod boleh juga letakkan kamera anda atas tembok atau permukaan rata yang lebih tinggi dari tanah. Jika anda nak cari tripod carilah yang agak berat sikit kerana tripod yang ringan akan bergoyang jika ditiup angin.

Remote/Self Timer
Gunakan remote control bila snap gambar untuk mengelakkan daripada kamera bergoyang ketika kita menekan trigger kamera. Kalau remote tak ada anda boleh guna self timer. Setkan kamera anda untuk trigger 2-3 saat selepas anda menekan trigger button. Dengan cara ini kamera tidak akan bergoyang akibat sentuhan anda.

ISO
Gunakan ISO yang paling rendah. Biasanya 100. ISO yang tinggi akan meyebabkan grain iaitu bintik-bintik pada gambar. Bintik ini dapat dilihat dengan jelas jika anda zoom in gambar yang telah siap diproses.

Aperture Prority
Gunakan AV mode. Kenapa? Sebabnya ialah jika anda snap lanskap, bukaan aperture yang disyorkan ialah 11 atau lebih. Maksudnya kita nak dapatkan deep depth of field iaitu gambar yang sharp pada foreground dan background. Dengan kita meletakkan value yang tertentu, kamera secara automatik akan menentukan kelajuan shutter yang sesuai untuk aperture value yang telah kita tetapkan tadi. Snap dulu sekali untuk test kesesuaian exposure ini. Setelah itu bolehlah anda adjust exposure tersebut dengan menggunakan exposure compensation. Paling baik pada saya ialah buat AEB. Jadi untuk satu snap anda akan ada tiga hasil iaitu gambar yang mempunyai normal exposure, under dan over. Anda boleh pilih gambar mana yang lebih baik.

White Balance
Jangan gunakan auto white balance. Gunakan daylight atau boleh cuba guna shade, cloudy atau fluorescent. Kalau anda guna auto white balance kamera anda akan cuba betulkan bahagian gambar yang gelap sedangkan malam memang bercirikan gelap.

Manual Focus atau  Auto Focus
Waktu malam akan membuatkan kamera anda keliru untuk fokus jika anda gunakan auto fokus. Penyelesaiannya ialah gunakan manual fokus.

Histogram
Gambar malam biasanya akan menghasilkan lebih banyak value di sebelah kiri histogram. Ini adalah normal kerana kurangnya cahaya pada waktu malam berbanding siang. 

Lain-lain faktor untuk diambil kira bagi fotografi waktu malam ialah waktu yang sesuai untuk berada di lokasi. Waktu selepas senja berbeza dengan waktu tengah malam. Begitu juga waktu awal subuh turut berbeza dengan waktu awal malam. Anda tentukan dan sesuaikan dengan subjek atau tema gambar yang anda inginkan.

Fotografi malam - pemandangan Petronas Twin Tower dan sekitarnya dari Taman Tasik Titiwangsa

Malam minggu yang lepas aku lepaskan hajat pergi Taman Tasik Titiwangsa buat fotografi waktu malam. Dah lama aku nak uji skil aku snap gambar waktu malam dengan menggunakan teknik yang betul. Sebelum ni aku dah try snap gambar waktu malam di Putrajaya tapi aku tak gunakan tripod jadi banyak gambar yang underexpose dan blurr. Tu lah aku tak puas hati. Untuk kali ini aku memang bawa tripod dan aku memang dah plan nak melepak lama sikit. Siangnya aku dah pergi sekejap untuk tengok lokasi paling sesuai untuk aku shoot sebelah malamnya nanti. Dari pengamatan aku, lokasi ni memang cantik kalau ambil gambar malam hari. Pasti akan ada pantulan cahaya pada air tasik tu. Lagipun KLCC dan bangunan sekitarnya nampak jelas dari sini.

Semua gambar yang aku snap guna format jpeg. Tak berapa rajin nak guna RAW sebenarnya hehe. Lagipun aku tak berapa seronok nak mencantikkan gambar yang aku dah snap. Pada aku biarlah WYSIWUG iaitu "what you see is what you get". Jadi kalau orang yang pernah tengok gambar yang aku snap kemudian dia pergi ke tempat yang aku snap gambar tu maka dia akan dapat lihat sendiri pemandangan sama seperti apa yang ada dalam foto yang aku snap. Tapi kalau fotografi adalah kerjaya kita, maka kenalah jugak adjust gambar yang kita snap ikut keperluan semasa.

Aku ni masih baru sangat lagi dalam fotografi ni. Apa-apa pendapat aku yang salah silalah betulkan. Bolehlah menambah ilmu fotografi aku. Untuk fotografi waktu malam, suka atau tidak memang kena gunakan shutter speed yang slow. Aku mula-mula pegang kamera dulu ingatkan shutter speed ni kita boleh adjust ikut suka bila-bila masa kita nak. Kononnya nak bagi imej pegun pada waktu malam kena la gunakan shutter speed yang pantas. Sekali tu aku aku terjumpa la orang main live band. Macam konsert kecik gitu. Aku pun apa lagi ambil kamera nak snap gambar la. Dah nama pun live band ada la penyanyinya. Penyanyi tu kan menyanyi sambil joget. Kalau ikut pemahaman aku la, kalau nak matikan pergerakan subjek kita kenalah gunakan shutter speed yang laju. Bila aku cuba set shutter speed yang laju, meter pada kamera tunjukkan underexpose walaupun aku naikkan ISO. Last-last baru aku paham kalau nak berfoto pada waktu malam siapkan la tripod sebab biasanya kena guna shutter speed berkelajuan 1 saat atau lebih bergantung kepada keadaan cahaya di sekeliling. Kalau aku pegang kamera 1 saat sah la kamera tu bergoyang tak banyak sikit akibatnya gambar jadi blur. 

Tapi ada masalah jugak kalau amik gambar subjek yang bergerak pada waktu malam dengan kelajuan shutter yang perlahan. Subjek akan jadi macam bebayang. Mula-mula aku pening jugaklah tapi lama-lama akuboleh faham cara untuk atasi masalah ini. Nak tau caranya kenalah banyak membaca. Guru aku pasal fotografi ni ialah internet. Carilah artikel pasal fotografi tak kira dalam bahasa Melayu, Indonesia atau Inggeris selagi boleh faham baca aje lah.

Okay aku ni dah melalut banyak. Meh lah sini aku tunjukkan gambar yang aku snap tu. Mula-mula korang tengok view KLCC dan sekitarnya pada waktu siang dulu ye lepas tu barulah kita terjah foto sebelah malam pulak. Kalau korang nak tengok gambar ni dalam saiz sebenar yang lebih besar dan jelas korang klik mouse yang sebelah kanan kemudian pilih "open link in new tab". Nanti akan keluar tab baru untuk gambar tu sahaja. Kalau korang nak gambar ni boleh la amik tapi korang bagilah kredit kat tuan tanah ye...hehe

istana budaya, perpustakaan negara, menara KL & KLCC

 zoom 32mm

pantulan cahaya pada air tasik memang mengasyikkan

18mm  -  f7.1  - 5sec  -  ISO100 - step 0

55mm -  f18 - 30sec - ISO 100 - step -1

Ada banyak gambar yang aku snap sebenarnya. Salah satu sebabnya ialah aku guna Auto Exposure Bracketing (AEB). Kalau guna AEB satu photo akan disnap tiga kali  mengikut turutan normal, underexpose dan overexpose. Kalau tambah color bracketing pulak, tiap satu gambar akan disnap sembilan kali. Haha pening. Dulu mula-mula pegang DSLR memang aku pening tapi dengan banyak membaca aku jadi faham dan sekarang ni dah boleh apply benda-benda macam ni. Esok lusa aku ceritakan pulak cara yang aku guna untuk snap gambar waktu malam.

Tuesday, 17 June 2014

Ikan Bakar Jeram, Kuala Selangor

Entry ni sebenarnya aku nak postkan dua tiga hari lepas tapi tak sempat la pulak nak type. Hari ni aku demam jadi dapatlah aku duk depan komputer. Tu lah pasal post dua entry sekaligus hehe. Entry ni cerita pasal aku pi makan seafood kat Jeram, Kuala Selangor. Aku sebenarnya bukan nak makan seafood pun. Aku nak shhot gambar matahari terbenam tepi pantai. Kawan aku yang sibuk nak makan seafood. Dia tak pernah pergi tempat tu. Aku pun tak pernah pergi jugak hehe tapi adalah rumah sedara kat area situ. Jadi walaupun aku tak pernah pergi restoran seafood tu exactly tapi area tu aku agak biasa jugaklah. Aku dari KL sekali harung je terus sampai tempat tu. Kalau sesiapa nak pergi tapi tak berapa pasti jalannya ikut je highway LATAR. Masuk highway ikut Templer Park jalan terus je sampai hujung highway tu kemudian ambil kiri. Ni jalan Ijok - Kuala Selangor. Jalan terus sampai jumpa simpang T yang ada lampu isyarat ambil kiri lagi. Ni jalan Kelang - Kuala Selangor. Jalan terus lagi. On the way ke pekan Jeram tu akan jumpa pekan kecil nama dia Sungai Buloh. Ni bukan Sungai Buloh yang kat Kepong tu. Ni kira kampung kecik je. Jalan terus lagi sampai la anda jumpa signboard Medan Ikan Bakar Jeram. Ada trafic light kat sini. Belok kanan. Jalan terus, tak lama sampai la ke medan ikan bakar tu.

Kat sini anda kena hati-hati sikitlah. Aku hari tu makan kat restoran yang mula-mula kita oarang jumpa. Nama dia memang Medan Ikan Bakar Jeram. Sebenarnya aku tahu kat sebelah restoran ni ada satu lagi restoran yang top nama dia Aroma Ikan Bakar. Ramai blogger syorkan restoran ni. Tapi aku saja try restoran yang mula-mula jumpa ni. Inilah dia makanan yang kita orang order. Bawal tiga rasa. Sotong goreng tepung. Sup ekor. Cendawan masak apa tah. Telur dadar. Kailan ikan masin. Jenahak bakar. Kawan aku ni dahaga sangat agaknya. Dia order carrot susu sampai dua gelas. Tengok la gelas yang pertama (nampak sebahagian depan perut dia tu) dia dah settlekan. Perut dia pun dah ke depan je hehe. Kiranya waktu aku snap gambar ni, kawan aku tu tengah tunggu carrot susu gelas yang kedualah.

nampak best kan.....tapiiiii

Lauk tu nampak memang best tapi kan......hehe ada tapinya.....overall hancus. Sorrylah kalau tuan punya restoran terbaca komen aku ni. Biar aku terangkan satu-satu. Bawal tiga rasa tu rasanya pada aku la memang out. Sos dia rasa macam sos yang dalam botol. Itulah yang aku kata out. Kalau macam ni masakannya aku jamin la aku punya masakan tiga rasa lagi power. Lagi pasal kailan ikan masin. Kuah kailan ikan masin ni patutnya jangan pekat sangat macam kuah mee hailam. Kuah kailan kalau nak buh tepung jagung ok tapi jangan banyak sangat. Yang kat sini tepung jagungnya banyak sangat tu lah kuah dia jadi macam kuah mee hailam. Lagi pasal sup ekor. Sup ekor dia ni agak cair. Tak menarik bila dilihat. Tambah pulak agak masin sikit. Yang ni tak abis kita orang bedal. Pasal jenahak bakar pulak kira biasa-biasa je lah cumanya dah nak abis kita orang makan ikan bakar tu baru kita orang perasan rupanya air asamnya duk dalam bekas lain. Macam bekas kicap kat restoran mamak tu. Patut jenuh aku cari tak jumpa hehe. Last pasal nasi. Nasi dia ni bagi aku la agak lembik sikit. Pada aku la kalau meniaga restoran nasi jangan lembik. Paling elok peroikan. Jangan lembik melekat. Pasal cendawan pulak aku tak tau la pasal aku tak makan. Kawan aku tu yang pulun sorang.

Walau bagaimana pun aku taklah kecewa sangat sebab tujuan aku datang bukan nak makan semata-mata tapi aku nak ambil gambar matahari terbenam. Kat bawah ni gambar-gambar yang sempat aku snap ketika marahari terbenam. Restoran ni betul-betul tepi pantai tapi pantai ni macam pantai hutan bakau. Di tepi medan ikan bakar ni ada jeti nelayan. Bot-botnya kecil je. Rasanya dia orang ni nelayan pantai.

ada sorang pak tengah tengok-tengok anak dia :)

ada 3-4 ekor burung terbang ke sarang kot (klik gambar untuk besarkan)

aku tengah snap cantik je burung ni terbang melintas

kalau korang nak makan seafood kat Jeram carilah restoran ni

Senja di Putrajaya

Hujung minggu tadi jalan-jalan ke Purtajaya. Cadangnya nak pergi ke Floria Putrajaya 2014. Sekali sampai je sana punya la ramai pengunjung. Sampai nak beli tiket pun berbaris panjang. Tak jadilah aku nak masuk. Aku kalau baris panjang ni malaslah nak campur. Lagipun kalau aku tak masuk ke tapak pameran tu pun tak ada masalah. Bukannya rugi pun hehe.

Sebab aku pun dah sampai ke Putrajaya alang-alang baik la aku pusing-pusing ambil gambar dulu. Aku pun memandu la ke arah masjid. Rupanya kat sana pun ramai jugak umat manusia. Jalan jem nak masuk bulatan depan opis PM tu. Aku dah terlajak ke depan terpaksalah jugak menempuhi jem tu. Kemudian buat u-turn dan parking je tepi jalan je sebab aku tengok ramai yang parking kat tepi jalan. Ok jugak la berhenti kat situ. Dapat la aku shoot gambar matahari terbenam. Kat bawah ni gambar-gambar yang sempat aku shoot.











Memang mengasyikkan waktu senja di Putrajaya. Cantik pemandangannya. Kalau ada sesiapa minat fotografi elok la bawa kamera boleh shoot mana yang patut. Kalau pergi weekdays lagi best pasal pengunjung kuranglah sikit. Kalau weekend mesti ramai orang. Anyway walaupun aku tak dapat pergi pameran bunga aku tetap puas hati dapat ambil gambar waktu senja di Putrajaya. Malahan aku rasa gambar masjid berlatar belakangkan lembayung senja tu adalah gambar terbaik pernah aku snap semenjak aku melibatkan diri dalam hobi baru aku ni.

Wednesday, 11 June 2014

Apa yang tersirat

Suatu masa dulu aku pernah berniaga. Sewa tapak depan kedai makan orang. Tapak berniaga yang aku sewa tu kecik je dalam 8 X 8 kaki macam tu lah. Mula-mula aku ingat nak meniaga char kuey teow sahaja tapi bila masa berjalan ada pulak permintaan menu yang lain dari pelanggan jadi aku tambah la menu kuey teow goreng, nasi goreng dan mee goreng mamak. Aku pernah meniaga kat tempat lain sebelum ni. Kaedahnya sama jugaklah. Sewa tapak depan kedai je. Tarik api dan guna air dari premis kedai tu. Itu je yang sebenarnya kira sewa. Tapak aku berniaga depan kedai tu sebenarnya parking lot jadi ikutnya majlis bandaran yang punya. Walaupun aku ni hawker je tapi aku ada ambil lesen meja lipat. Kiranya aku ni meniaga kecik tapi lesen tetap aku mohon jugak. Ni kira tanggungjawab peniaga kepada masyarakat. Perniagaan makanan ni kena dipantau. Kalau tak ada lesen macam mana pihak berkuasa nak pantau jadi peniaga kenalah ikut peraturan dan bagi kerjasama. Tapi apa yang aku perhatikan banyak peniaga yang mementingkan tembolok dia orang aje. Kiri kanan depan belakang jarang dia orang perhatikan dan ambil peduli. Dalam kata lain rasa tanggungjawab tu kuranglah. Lain kali aku ceritalah kenapa aku kata macam tu. hari ni aku nak cerita pasal tajuk entry "Apa yang tersirat".

Sebelum tu aku nak cerita sikit analisis aku pasal solat berjemaah. Semua tahu solat berjemaah ni ganjaran pahalanya tinggi. 27 darjat tingginya (ada setengah riwayat kata 25)  melebihi pahala solat bersendirian. Ada satu persoalan yang bermain di fikiran aku tentang pahala solat berjemaah ni. Kalau kita tanya orang apa kelebihannya solat berjemaah ni pastilah jawapannya ganjaran pahalanya lebih. Yang aku fikirkan ialah kenapa solat berjemaah ni ganjaran pahalanya lebih. Tentulah ada yang tersirat kenapa Allah swt mengurniakan 27 darjat pahala kepada orang yang solat berjemaah berbanding 1 darjat untuk orang yang solat bersendirian. Fikir punya fikir aku dapat la satu alasan kenapa pahalanya lebih untuk solat berjemaah. Pastilah ada banyak alasan tersirat yang lain tapi buat masa ni aku dapat fikir satu ni je. Patutlah umat Islam disuruh banyak berfikir. Bila berfikir barulah kita dapat memahami duduk sesuatu perkara dengan jelas.

Baiklah, tentu anda nak tau apa alasan yang aku fikirkan tu. Aku sambung cerita berniaga aku tadi. Hehe jangan marah ye cerita ni ada banyak babak sebelum sampai ke puncaknya. Masa aku meniaga dulu, gerai aku memang betul-betul tepi jalan. Belakang restoran ada la deretan rumah orang. Dalam pukul 7 petang biasanya memang ada orang order char kuey teow. Waktu berniaga aku pukul 5.30 petang sampai 12 malam. Waktu dalam pukul 7 petang tu lah selalu peristiwa yang sama ni berlaku. Peristiwanya ialah ada la satu makcik ni biasa lalu depan stall aku nak pi berjemaah di surau. Biasa dia ni lalu dalam 15-20 minit sebelum maghriblah. Kalau waktu maghrib dan azan sedang berkumandang memang aku tak menggoreng. Yang aku duk peratikan makcik ni kalau lalu depan aku langsung dia tak tegur. Jangan kata tegur, senyum pun tidak. Yang tu tak pa lagi la. No hal punya. Tapi satu perkara yang aku tak boleh tahan ialah dia boleh tutup hidung masa lalu depan stall aku. Seolah-olah dia lalu tepi kandang babi yang berbau atau kita tutup hidung bila terbau kentut atau bau taik kucing atau apa-apa aje bau yang tak menyenangkanlah.

Di sinilah aku terfikir. Makcik ni pi solat berjemaah tapi dia gagal memahami konsep solat berjemaah. Salah satu sebab kenapa solat berjemaah ni tinggi darjatnya ialah kerana dengan berjemaah kita dapat berjumpa dengan saudara segama kita. Dengan perjumpaan inilah hubungan silaturahim menjadi erat. Maksudnya ganjaran darjat yang tinggi diberi untuk solat berjemaah adalah untuk menggalakkan umat Islam menjaga hubungan silaturahim antara saudara seagama. Islam sendiri amat menitikberatkan soal silaturahim sesama insan. Jadi pada aku, salah satu sebab kenapa ganjaran pahala berjemaah tinggi darjatnya adalah kerana Allah swt mahukan kita umat Islam menjaga hubungan silaturahim sesama kita. Cuba kita perhatikan sekeliling kita. Tak ramai yang menyedari konsep ini. Pada akulah, sembahyang berjemaah itu mendidik kita betapa pentingnya silaturahim dan konsep ini bukan hanya penting masa berjemaah sahaja malah konsep inilah yang perlu menjadi amalan seharian kita. Berbalik kepada makcik yang lalu depan kedai duk tutup hidung tadi, memang sah la dia tak paham konsep berjemaah ni. Dia tidak mahu amalkan silaturahim. Malah menghina orang lagi ada la. Malangnya aku tak pernah dengar ustaz cerita pasal konsep sembahyang jemaah ni. Yang biasa aku dengar ceramah atau tazkirah pasal ganjaran pahala sembahyang jemaah yang tinggi ada la tapi kalau kenapa dan mengapa  ganjaran pahala sembahyang jemaah tu tinggi masih belum aku dengar lagi. Walau macam mana pun aku maafkan makcik yang seolah-olah menghina aku tu. Aku doakan aku, dia dan semua kita muslimin dan muslimat sama-sama mendapat syurga Allah swt kerana kita semua bersaudara. Saudara segama kita bukanlah musuh kita. Kadang-kadang saudara kita menganiaya kita tetapi adalah lebih baik jika kita memaafkan dia kerana musuh kita yang nyata ialah syaitan yang suka menggoda dan  memecah belahkan umat manusia. Maka syaitan laknatullah ialah musuh kita yang sebenar.

Monday, 9 June 2014

Lembayung senja dan matahari terbenam yang menakjubkan

Semalam pergi makan ikar bakar dan seafood di medan ikan bakar PD. Dalam perjalanan ke tempat dituju aku ternampaklah pemandangan matahari tenggelam yang amat cantik. Nasib baik ada bawa kamera jadi aku pun berhenti dan ambil gambar. Kebetulan masa matahari terbenam tu ada beberapa orang tengah berjalan dalam air jadi makin bersenilah pulak gambar yang aku snap tu. Siap ada bebayang orang lagi. Dia orang yang berjalan dalam air tu entah apa yang di buat aku pun tak tau. Nampak macam mandi je. Tempat aku berhenti ambil gambar ni sebenarnya bukan tempat popular untuk mandi. Ianya lebih kepada pantai yang sesuai untuk mencari kepah. Pantai yang berpasir campur lumpur yang mendatar gitu. Kalau air surut akan nampaklah dataran pantai yang luas sampai agak ke tengah. Inilah dua gambar yang aku sempat upload. Kalau nak dapatkan imej yang jelas klik gambar tu.

stunning sunset

silhoutte dan sunset....kombinasi yang mengasyikkan


Gambar-gambar lain ada di sini http://s1168.photobucket.com/user/S7215260/library/. Jika ada sesiapa nak download gambar-gambar dalam photobucket aku ni dibolehkan download sebanyak mana yang anda mahu tapi hehe ada tapinya ye....bagilah kredit kat sumbernya iaitu akaun photobucket aku tu atau blog ini. Gambar-gambar dalam photobucket aku ni semuanya original hasil yang aku snap sendiri dan semuanya guna standard kit lens 18-55mm.

Wednesday, 4 June 2014

Bereksperimen dengan gambar waterfall

Sekarang ni aku suka sangat ambil gambar air terjun. Bukan apa, aku sebenarnya nak mahirkan diri dengan berbagai teknik fotografi. Semalam aku jalan-jalan ke Ulu Yam - Batang Kali. Jalan-jalan tak ada tujuan. Sambil tu bawak la jugak kamera. Ingat ke nak round kejap aje tapi akhirnya sampai ke kolam air panas Ulu Tamu. Memang ulu betul la tempat tu. Jauh betul masuk dalam kampung. Ada la resort kat dalam tu tapi tak tau la ada orang menginap ke tak. Kalau company buat camp boleh la kot tempat-tempat macam tu. 

Ada satu pokok ni kat kolam air panas Ulu Tamu yang aku tak pernah tengok. Bunga dia memang lain sikit. Barangkali pada orang lain pokok ni biasa je tapi bagi aku ni lah kali pertama aku tengok pokok yang berbunga macam ni.

pokok apa?

sungai ni kat Ulu Yam

waterfall yang terletak kat jalan empangan batu - Ulu Yam

Gambar sungai dan waterfall tu aku snap dengan mode TV. Shutter speed 1/8. Tak boleh nak slow lagi dah sebab aku tak bawa tripod. Nasib baik speed macam tu dah cukup untuk blurkan pergerakan air tu.


Kisah kawanku yang berbau power


Malam tadi aku keluar minum dengan kawan aku. Dia ni aku dah ceritakan sikit dalam entry sebelum ni “macam mana nak buat”. Janji jumpa kat satu restoran ni tapi bila sampai kat restoran yang dimaksudkan tu meja kosong tak ada. Penuh dengan customer. Kami pun bergerak la ke restoran lain. Kawan aku ni baru balik dari maghrib kat surau agaknya sebab pakai jubah bagai lagi. Datang naik kereta asing-asing tapi bila nak gerak ke restoran lain kami naik satu kereta ajelah. Kereta aku la. Kat sinilah kisah sadis ni bermula.
Bila masuk je kereta, aku start enjin pas tu on la aircond. Tak lama kawan aku ni pun naik  duk sebelah aku. Masuk je dia dalam kereta, mak aii bau pakaian dia punyalah power. Aku nak buka tingkap dan off aircond nanti dia kata apa pulak. Jadi aku maintain macho je lah walaupun nafas aku mengah akibat tertahan-tahan. Aku pun sengetkan badan aku sambil memandu sambil menyandar arah kanan. Kononnya nak jauhkan la sikit dari punca bau tu tapi sebab bau tu power sangat memang adjust duduk macam mana pun ada bau jugak la. Pewangi kereta aku pun dah kena godam dengan bau jubah kawan aku ni. Maksudnya pewangi kereta aku kalah la berlawan dengan bau kawan aku ni hehe. Aku rasa dia dah pakai jubah tu seminggu dua tapi langsung tak basuh. Ya ampunnnn apa punya orang la mamat sekor ni. Tak jaga kebersihan langsung. Macam mana la agaknya dia pi berjemaah kat surau dalam keadaan bau tengik macam tu. Makmum sebelah dia sah la sembahyang tak khusyuk. Dia orang pun macam aku jugak agaknya tahan-tahan nafas je sambil maintain macho.
Aku rasa la kan kalau macam tu lah keadaannya bau pakaian dia baik la jangan pi berjemaah kat surau. Aku bukan nak menghina orang yang bau busuk ni. Kalau badan berbau sebab hormon aktif atau berlebihan tak pa jugak. Atau pun fakir miskin yang pakaian berbau yang tu aku boleh terima. Orang-orang ni berbau tidak menyenangkan ada sebabnya. Tapi kalau kita yang biasa-biasa ni pakai pakaian berbau tu tandanya malas. Malas basuh pakaian. Dalam kata lain malas jaga kebersihan. Sedangkan agama kita amat menganjurkan kebersihan luaran dan dalaman sebab tu ada mandi wajib dan mandi sunat. Lepas tu pulak kalau hari jumaat disunatkan kita berhias diri dan memakai wangi-wangian untuk ke masjid. Tujuannya apa. Tentulah salah satu tujuannya memelihara keselesaan jemaah lain. Kalau kita berbau busuk pasti jemaah berhampiran kita tidak selesa. Aku selalu kena macam ni bila hari jumaat. Selalunya bau orang tak gosok gigi. Benda-benda macam ni sebenarnya common sense. Boleh fikir sendiri. Sebaik-baiknya janganlah sampai orang tegur. Kalau orang tegur kita jadi malu. Tapi itulah manusia, lagi tak ditegur lagi itulah dia buat. Orang nak tegur pun sebenarnya serba salah tapi mengenangkan kawan tegur jugak la.
Kawan aku ni pun memang aku niat akan tegur dia pasal hal-hal macam ni. Aku rasalah dia ni tak perasan kot pakaian dia ada bau. Mungkin sebab tak ada orang tegur. Tambahan pulak kawan aku ni jenis kedekut. Baju koyak pun dia pakai lagi. Pakaian yang tak muat pun dia sarung jugak. Jadilah macam nangka busuk. Terjojol la keluar bahagian perut boroi. Tunggu masa je lah nanti. Bila aku rasa sesuai aku tegur la. Dia nak dengar ke tak terpulanglah kepada dia. Sebelum ni pun kawan dia ada jugak bagitahu aku pasal bau-bauan pakaian dia ni. Tapi dia orang segan nak tegur. Kali ni biarlah aku yang tegur.

Sunday, 1 June 2014

Kuala Lumpur Orchid & Bonsai Show

Semalam aku jalan-jalan ke Taman Tasik Perdana. Rupanya ada pameran orkid dan bonsai anjuran DBKL yang diadakan di kawasan Taman Orkid dan Bunga Raya berdepan dengan Taman Burung. Aku pun masuklah. Lagi pun percuma. Lokasi pameran ni agak jauh ke tengah taman. Kalau berjalan letih jugahlah. Ada banyak jalan masuk tapi semalam aku parking kereta kat Taman Burung pas tu jalan kaki sikit ke arah Memorial Tun Razak. Kat situ ada guard menunggu di jalan nak masuk ke lokasi pameran. Dia orang suruh aku naik van yang DBKL sediakan. Tak perlu la aku berjalan. Masa aku sampai kat lokasi pameran orang tak berapa ramai sangat pasal awal lagi. Parking kat bird park pun masih banyak kosong. Aku sampai tu dalam pukul 9 pagi.


Hari ini 1.6.2014 adalah hari terakhir KL Orchid & Bonsai Show. Warga KL yang ada kelapangan aku syorkan pergi sebab memang berbaloi terutamanya kepada orang yang macam aku ni yang tengah mengasah bakat dalam fotografi. Puas hati ambil gambar sampaikan aku snap 400 keping lebih gambar masa kat pameran tu. Kalau datang nak jalan-jalan pun berbaloi jugak. Di samping pemandangan yang cantik kita boleh juga tengok macam-macam jenis bunga orkid dan bonsai. Pendek kata tengoklah selagi mana anda larat. Gambar-gambar kat bawah ni aku snap masa kat sanalah. Kalau nak besarkan klik pada gambar tu.






Ada banyak lagi gambar tapi tak larat aku nak upload banyak-banyak. Internet slow sangat. Kalau nak tengok gambar lain bolehlah tengok kat photobucket aku kat sini http://s1168.photobucket.com/user/S7215260/library/. Gerai jual makanan dan minuman pun ada selain dari gerai jual orkid, bonsai, anak-anak benih pokok, bahan pertanian etc. Kalau letih meredah taman boleh duduk rilek sambil tengok-tengok budak-budak main. Banyak tempat duduk dan tempat berteduh disediakan kat taman ni. Tak gaduh nak berebutlah. Antara banyak-banyak gambar yang aku snap kat situ, gambar kat bawah ni la yang paling aku suka. Dua gambar ni adalah benda dan tempat yang sama tapi dengan teknik fotografi yang belainan gambar pun jadi lain.

yang ni  f4  1/2000  ISO3200  28mm  +0.7step

yang ni pulak  f25  1sec  ISO100  28mm   0 step