Friday, 30 May 2014

Resepi Mee Goreng Mamak

Mee goreng mamak dengan mee goreng melayu banyak bezanya. Mee goreng mamak bahan-bahan dia simple je. Dah la simple, bahannya murah pulak tu. Mee goreng mamak mana ada buh ayam, udang, daging atau sotong. Kalau melayu punya, ada ayam udang bagai tu lah kosnya mahal. Jadinya harga jual pun kena mahal gak la. Aku sekarang ni kalau nak makan mee goreng mamak, buat sendiri aje. Puas makan. Pas tu pulak rasa dia boleh adjust ikut kemahuan sendiri. Macam yang aku kata dalam entry sebelum ni, kali ni aku turunkan resepi mee goreng mamak yang aku skodeng dari restoran mamak dan aku ubahsuai sikit ikut kesesuaian citarasa aku la.

(untuk sorang makan)
Bahan
1/3 bungkus Mee Kuning (sebungkus 450 gram)
1 biji telur
1 biji bawang kecil dihiris
1 ulas bawang putih diketuk
2-3 biji cili api
1/2 biji tomato ikut suka nak potong macam mana
sedikit tauge
2-3 batang sawi potong panjang 1 inci
beberapa hirisan kubis
1 sudu makan cili boh/kisar
1/2 biji tauhu hiris halus (kalau jenis tauhu lembut lagi best)
kuih udang (yang ni beli kat makcik jual goreng pisang tepi jalan - guna separuh je dari sebiji kuih tu)
Kicap secukup rasa (kicap ni wajib brand BILAL - kalau brand lain rasa kureng sikit la) 
2-3 sudu minyak masak
1 1/2 sudu teh gula
1 sudu teh ajinomoto (kalau tak suka tak payah taruh tapi rasa ada lari sikit la...hehe)
Sedikit air jika perlu (kalau nak basah)

Cara
1. Panaskan minyak. Hiriskan tauhu kemudian goreng. Guna api slow ye pasal biasanya mamak masak mee sambil potong-potong bahan jadi kalau guna api kuat mau hangus barang yang dah duk dalam kuali. Hiris bawang merah dan ketuk bawang putih lepas tu masukkan dalam kuali.

2. Kacau-kacau sikit sambil ketuk kuali bagi ada irama baru terangkat orang tengok. Bila bawang dah layu sikit masukkan cili kisar. Yng ni pastikan pecah minyak. Kalau tak orang makan nanti mau sakit perut.

3. Hiris kubis kemudian masukkan dalam kuali. Kacau rata. Sambil tu terus potong sawi & tomato kemudian campakkan dalam kuali bersama dengan cili api (nak ketuk boleh. masuk sebiji-sebiji pun ok). Masukkan juga tauge dan kuih udang. Gaul rata.

4. Masukkan mee. Gaul sebati dengan segala yang ada dalam kuali. Masukkan gula & aji. Gaul rata lagi. Api maintain slow. Tuangkan kicap sikit-sikit. Garam tak payah buh pasal kicap ni kira ganti garam la. Sambil tuang kicap sambil gaul. Agak-agak kaler mee jangan gelap sangat dan jangan cerah sangat. Tapi kalau cerah sikit tak pa, jangan gelap nanti masin jadi tak sedap. Bila dah agak-agak ok kuatkan api. Gaul rata lagi. Lepas tu slowkan balik api. Kalau suka mee goreng basah masa ni la masukkan air. Ikut sukalah nak basah macam mana tapi kalau aku paling banyak 1/2 cawan air je (cawan kecik). 

5. Lepas masukkan air kuatkan balik api. Tadi kita slowkan api takut mee jadi kembang kena air. Sekarang kita kuatkan balik api supaya air cepat panas dan masak. Gaul rata segala bahan dalam kuali tu kemudian tolak ketepi sikit bagi ada ruang untuk letak telur dan terus pecahkan sebiji telur. Lepas pecahkan telur terus kacau je jangan biar telur mengeras. Bila semuanya sebati tutup api dan siaplah sepinggan mee goreng mamak. Untuk hiasan masa hidang ikut suka la nak letak apa. Bawang goreng pun boleh. Daun sup pun boleh. Kalau aku, aku letak sepotong dua timun pas tu atas timun tu aku tuang sos cili walawei best giler hehe.

inilah hasilnya

Mee Goreng Mamak

Agak lama dah aku tak makan mee goreng mamak. Hari ni aku rasa nak makanlah. Biasanya kalau aku nak makan mee goreng mamak aku goreng sendiri je. Aku rasa lah kan mee goreng mamak aku ni above average kalau dibandingkan dengan mee goreng kat kedai mamak tu. Resepi mee goreng mamak ni memang aku dapat dari kedai mamak tapi bukan aku tanya dia orang sebaliknya aku main intai-intai je. Kat area aku duk ni ada satu kedai mamak yang mee goreng dia boleh kata sedap la berbanding dengan kedai mamak yang lain. Aku selalu gak pekena mee goreng kat situ. Lama-lama aku fikir kalau dapat resepinya lagi baik. So aku pun skodeng la mamak tu menggoreng mee.

Kali pertama aku skodeng pas tu aku balik goreng kat rumah tak menjadi. Tak pa. Dua tiga hari lepas tu aku pi lagi restoran tu. Bila balik je aku cuba buat lagi. Tak menjadi jugak. Lepas tu dua tiga hari kemudiannya aku pi minum teh kat kedai mamak tu. Aku duk dekat-dekat dengan mamak yang goreng mee tu. Aku perati betul-betul apa yang dia buat. Aku nampaklah dia masukkan bahan satu persatu cuma aku tak tau dengan pasti setengah bahan tu ada nampak macam gula, macam garam pun ada, macam pak ajinomoto pun ada. Maklum la tengok pun bukan betul-betul depan dia. Kalau macam sawi, tauge, bawang putih, bawang merah, tauhu etc tu aku tau la. So strategi aku, mana-mana bahan yang aku tak pasti tu aku mark siap-siap.

Bila masa aku nak bayar, aku pi la dekat tempat mamak tu menggoreng. Sambil bayar tu aku tanya dia apa bendanya yang nampak macam gula atau garam atau pak aji tu. Dia tak jawab kononnya nak rahsiakan resepi dia lah tu hehe. Tapi sebab aku dah dekat sangat dengan tempat menggoreng tu aku tau la apa bendanya tu. Aku ni bukannya tak penah ke dapur. Barang-barang dapur ni jangan duk tipu aku la. Bini aku pun tak boleh lawan hehe. So aku rilek aje la siap senyum sorang-sorang lagi sebab aku dah dapat resepi mee goreng mamak yang sedap. Pas tu balik rumah aku pun mulakan la operasi. Kali ni perggh memang menjadi malah lebih sedap lagi dari mee goreng mamak yang kat kedai tu. Sebabnya ialah aku tambah satu bahan tambahan. Dari pengalaman aku memasaklah kan kalau nak masakan kita rasanya sedap bahan ni kena ada tapi kena pandai balancekan la. Kalau bahan ni ada tapi tak balance dengan geng dia yang lain tak jadi jugak. Sapa-sapa biasa masak paham la apa yang aku cakapkan ni.

Sembang pun dah panjang. Ni lah dia mee goreng mamak yang aku masak sat tadi. Resepi dia esok lusalah aku postkan pasal aku dah tak tahan nak makan mee goreng mamak yang sungguh sedap ni........hehe

Mee goreng mamak terbaik

Sunday, 25 May 2014

Lumut waterfront

Tak ramai orang kat pekan Lumut hari Sabtu lepas ni tadi. Agaknya sebab cuti sekolah belum mula lagi kot. Lagipun aku perasan ada majlis apa tah barangkali malam sebelumnya sebab ada banyak khemah yang masih belum dibuka waktu aku sampai kat waterfront tu pukul 4 petang. Mungkin pengunjung ramai malam tadi kot sebab tu lah siang ni tak ramai orang. Pergi waterfront ni pun pasal nak beli ikan bilis je. Tapi kalau nak diikutkan, aku rasa baik la beli ikan bilis kat area Pasar Borong Selayang lagi murah. Aku bandingkan harga nampaknya pasar borong punya harga lagi murah. Mungkin sebab fresh kot sebab tu harga dia lebih sikit.

ikan bilis mata biru....macam orang putih la pulak dah


klik untuk besarkan gambar. boleh nampak harganya


ada 5-6 gerai macam ni sebelah menyebelah

Jenuh menunggu kalau orang shopping ni. Aku pun lari la pi tempat lain tapi dekat-dekat situ jugaklah. Dah tiga empat kali jugak aku datang Lumut ni. Tak ada apa-apalah yang baru pada aku. Cuma sebelum ni aku datang tak bawa kamera tapi kali ni aku macam pelancong siap tergantung kamera kat leher.  Kalau la kena ragut agaknya dengan aku sekali kena tarik dek peragut. Kata orang la kalau bawa kamera jangan gantung dileher tapi lilit ditangan jadi kemungkinan nak kena ragut tu kurang la sikit.  Kalau kena ragut jugak taklah dengan kita sekali terseret. Masa jalan-jalan sesorang ni aku snap la gambar ikut sedap aku je. Tapi pada sesapa nak pi Pulau Pangkor dengan feri melalui Lumut waterfront boleh la tengok gambar dulu.

jeti Lumut wetrfront untuk naik feri ke Pulau Pangkor


feri tengah ambil penumpang ke Pulau Pangkor


sebahagian daripada waterfront


depan kedai menghadap waterfront masih ada khemah yang belum dibuka


sebahagain deretan kedai kat bandar Lumut


bazar Lumut menghadap waterfront


 Pusat Kraf Lumut terletak di sebelah kiri terminal jeti


ni bukan gambar kat Lumut ye

Gambar akhir sekali tu bukan kat Lumut. Masa datang Lumut pagi tu aku ikut jalan Kuala Selangor tapi bila masa balik aku ikut Simpang Pulai. Singgah kat RTC Gopeng untuk maghrib dan makan sekali la. Lepas maghrib dan makan kereta adik ipar aku pulak tak boleh start. Nasib baik dia pandai repair sendiri. Dalam 2 jam jugak la sangkut kat RTC Gopeng tu. Kebetulan kat situ siangnya ada program Jihad Memerangi Orang Tengah yang dirasmikan oleh menteri pertanian agaknya. Malamnya dia orang buat konsert la pulak. Aku tengok-tengok ajelah. Bukan artis terbilang punya konsert ni. Ini band staf FAMA kata pak guard kat situ. Boleh la  layan. Aku snap gambar tu bukan apa, saja nak test skill ambil gambar konsert waktu malam. Nak cuba mode dan exposure kamera. Kena belajar dari try n error. Banyak lagi yang aku kena belajar. Tangan singer tu patutnya aku dapat freezekan tapi tengoklah gambar tu dah jadi ada bebayang pulak. Tapikan aku suka tengok bahagian perut singer tu yang macam boleh dilipat sikit-sikit tu hehe.....kalau terbaca blog ni jangan marah ye kak.

Muter-muter belakang rumah

Hari ni lewat pagi pi belakang rumah tengok pokok rambutan. Pokok rambutan ni aku tanam tah berapa tahun dah aku pun tak ingat. Dah berbuah tapi belum masak lagi la. Ini kali kedua pokok rambutan ni berbuah. Kali pertama berbuah tiga tahun lepas. Lepas berbuah kali pertama tu aku cantaskan dahannya pasal pertama dahannya condong masuk ke laman orang sebelah. Keduanya pasal aku nak merimbunkan pokok rambutan tu. Tapi belakang rumah aku ini memang sempit. Memang susahlah pokok rambutan tu nak rimbun macam rambutan kawin yang biasa nampak kat kampung. Sambil tengok pokok rambutan nampak la pulak bunga-bungaan berkembang mekar. Jadi aku pun ambil la kamera snap bunga-bungaan tu. Inilah dia hasil karya daripada hobi baru aku. Gambar ni tak dak copyright. Sapa nak boleh copy paste je.

bunga kertas kaler merah


ni lain pulak kalernya


tak tau bunga apa...hehe


bunga kawin paksa...hehe :)


ni bunga apa tah....merah sungguh tapi dah agak layu


daun betik yang masih berembun


Wednesday, 21 May 2014

Macam mana nak buat

Malam tadi aku minum teh kat kedai mamak. Minum teh dengan kawan tu biasa la. Tak dak apa yang specialnya. Tapi aku ada masalah sikit dengan kawan aku ni. Inilah yang aku nak ceritakan. Masalah ni bukanlah berat pun cuma aku je yang rasa tak berapa nak seronok. Kesian kat dia pun ada jugak. Tu lah, harap-harap sapa yang baca entry ni boleh la bagi komen sikit macam mana aku nak buat. 

Senang cerita aku teruskan ajelah kepada apa masalahnya dengan kawan aku ni. Kawan aku ni umur dah 42 tahun. Belum kawin lagi hehe. Kira macam bujang terlajak la. Dia tak tau aku ada blog ni. Kalau dia tau dan dia baca sah-sah la dia tau cerita ini adalah cerita tentang dia. Terus terang aku cakap kawan aku ni masalah dia ialah pasal pakaian dia. Dulu dia ni masa umur 20an hensem gila. Awek pun ramai yang minat kat dia. Bukan macam aku yang tak hensem ni, punyalah susah nak dapat awek hehe. Dah lama aku kawan dengan dia. Dalam 19 tahun macam tu kot. Itu cerita dulu tapi sekarang ni dia punya penampilan mak aii teruk dan selekehnya. Dengan baju kusam dan bau yang power kadang tu baju koyak pun dia bantai pakai makanya sapa-sapa yang duk tepi dia terpaksalah bila bernafas kena tarik nafas slow-slow. 

Malam tadi kawan aku ni pakai jubah. Agaknya baru balik dari surau. Aku rasa dia dah pakai jubah tu banyak kali tapi tak basuh-basuh pun jadi bau dia semerbak la. Aku heran betul la dia ni. Apa pasal benda-benda macam ni dia ambil mudah je. Aku duk bayangkan dia pi berjemaah kat surau dengan jubah dia tu pasti jemaah sebelah dia tak selesa. Aku biasa alami keadaan macam ni masa sembahyang jumaat. Kadang-kadang bila tengah sembahyang terpaksa ambil nafas sikit-sikit je sebab ada bau orang tak gosok gigi. Tak taulah orang sebelah kiri atau kanan aku. Sebab tu lah sunat menyucikan diri dan memakai wangi-wangian bila pi sembahyang jumaat. Tujuannya antara lain ialah memelihara keselesaan jemaah. Kawan aku ni pulak bukan setakat pi sembahyang je, hari-hari biasa pun selekeh dan busuknya tetap maintain. 

Aku rasa nak tegur kawan aku ni tapi takut dia tersinggung pulak. Tu lah aku duk fikir cara terbaik nak bagi dia sedar benda ni. Ada sorang kawan kepada kawan aku ni pernah sound direct kat dia pasal pakaian dia yang tak berbasuh tu. Kawan dia kata kalau baju dia dibasuh dan kemudian diperah ke dalam kolam dan kalau la dalam kolam tu ada ikan mau mati ikan-ikan dalam kolam tu. Tapi kawan aku ni tak sedar-sedar jugak. Inilah dilema yang mencengkam kalbu aku sekarang ni. Kalau sapa-sapa terbaca entry aku ni sudilah kiranya bagi pendapat macam mana nak buat dengan kawan aku yang sorang ni.

Monday, 19 May 2014

Aku tulis dan aku cerita. Cerita aku dan orang sekeliling aku. Apa-apa sajalah!

Hari ini 19.5.2014 aku mulakan blog ini. Aku nak tulis apa-apa saja yang aku fikirkan. Macam-macam benda sebenarnya yang aku nak tulis. Walaupun headline blog aku ni aku ada sebut pasal cinta tapi aku tak naklah menulis pasal cinta. Aku ni bukan ada pengalaman pasal cinta pun hehe. Baik la aku tulis benda-benda yang aku suka macam isu-isu semasa, ekonomi, politik, kemasyarakatan, masakan dan sebagainya. Aku ni walaupun muka hensem (hehe jangan marah ye dol...) tapi aku rajin masak dan buat kerja-kerja kat dapur. Memasak ni memang hobi aku.

Cerita pasal memasak ni, masakan favourite aku ialah char kuey teow stail melayu yang basah tu. Aku bukan nak sombong (cewah) tapi kalau setakat char kuey teow artis punya yang kat Kota Damansara tu memang sah la aku punya lagi power hehe. Aku rasa la kan aku punya char kuey teow saing-saing dengan yang Sg Dua punya, kalau bandingkan lebih kurang lari sama laju la. Banyak tempat dah aku cuba rasa char kuey teow ni. Yang kat Sg Dua telur dibasuh aku dah try. Bukit Mertajam yang depan pejabat pos aku dah cuba. Taman Bunga Raya & Danau Kota aku dah cuba. Artis punya yang kat Kota Damansara tu pun aku dah try.

Kalau malam sapa-sapa biasa lalu kat depan Vista Angkasa kat stesyen LRT Universiti Malaya ada budak-budak muda jual char kuey teow tepi jalan. Goreng atas lori je. Yang ni aku pernah makan jugak, Banyak kali. Bagi aku yang ni sedap cuma dia jual tepi jalan jadi tak selesa la. Meja dia buka kat kaki lima pejalan kaki. Banyak lagilah gerai-gerai tepi jalan jual char kuey teow yang aku dah cuba. Bagi aku la kan, kalau kat KL aku suka yang kat LRT Universiti Malaya tu. Yang kat Taman Bunga Raya & Danau Kota tu ok jugak. Kalau kat area utara memang Sg Dua punyalah yang top. Tempat dia pun tak susah nak cari. Kalau ikut PLUS dari selatan, exit yang last sebelum tol Sungai Dua tu belok ke kanan. Dalam 200-300 meter lepas tu berderet kedai char kuey teow sebelah kiri jalan. Tapi kat sini kalau datang malam bawa kereta pulak tu memang susah la nak cari parking. Kalau parking tepi jalan jaga-jaga kena saman dengan polis trafik.